Pesan untuk remaja
Orang selalu bilang begini,menjadi seorang insan bernama remaja adalah satu momen yang paling indah dalam hidup.Tanyalah pada yang tua,perkara apa yang mereka inginkan,pasti jawabnya dengan iringan senyuman,mahu kembali menjadi remaja.Tanyalah pada kanak-kanak,mahu jadi seperti apa,pasti kata mereka tidak sabar membesar dan menjadi remaja.Tanyalah remaja yang sedang di alam keremajaannya,apa perasaan menjadi remaja sekarang?Indah atau gundah sebenarnya menjadi insan yang bernafas dalam tubuh seorang remaja?
Hakikatnya,menjadi seorang remaja umpama hidup di antara dua alam,realiti dan ilusi.Remaja,kita sebenarnya masih keliru dan mencari-cari identiti sendiri.Usahlah ada yang mendabik dada awal dan berlagak dewasa.Maka,tidak hairan jika remaja sering dituduh tidak berpendirian dan mudah berubah prinsip.Adakalanya kerana kematangan yang masih belum terserlah,kita lekas membuat penilaian dengan menghukum daripada mengadili sesuatu perkara.Akuilah yang kita selalu mahukan yang cepat,tuntas kita selalu dalam terburu-buru.
Hanya remaja dapat menyelami isi hati remaja.Naluri seorang remaja sebenarnya hanya ingin mencari sebuah kebebasan.Mahu melepaskan dan melunaskan segala impian yang terpendam.Tersilap percaturan,nahas yang di baham.Natijahnya,remaja tanpa pelita pedoman akan tersesat dan tersadung ke jurang yang salah.Maka,lahirlah golongan remaja yang menjadi barah dalam masalah ummah.Tetapi kita tidak mahu menjadi demikian,yang kita mahu ialah remaja Islam yang matang.Yang punya cita-cita yang besar dan menilai sesuatu dalam paradigma seorang muslim.
Golongan remaja sebenarnya umpama anak kecil,perlu diberikan perhatian dan perlu difahami.Mereka adalah golongan yang masih belum mengerti sepenuhnya hakikat sebuah perjalanan kehidupan yang sangat panjang.Mereka perlu di bimbing dan diberi petunjuk oleh orang yang lebih berpengalaman.Mereka dahagakan ilmu sebagai pedoman dan pengalaman sebagai teman kehidupan.
Aset Islam.
Remaja yang gagal dipenuhi keinginan mereka akan memberontak sebagai tanda protes.Justeru,di sini ada benang yang kusut perlu diuraikan satu persatu agar tidak semakin kerusut.Remaja,kita adalah aset Islam.Persoalannya,remaja bagaimana yang mahu kita corakkan agar kita akhirnya menyumbang faedah kepada ummah?Percayalah,dengan hikmah orang tua yang hidup dalam jiwa orang muda,remaja mampu memberi impak yang besar kepada ummah sekaligus dapat menyiku segala kebobrokan yang bermaharajalela hari ini.
Inspirasi.
Kita seharusnya sedar,menjadi remaja adalah golongan yang mendapat perhatian daripada Allah.Kalau tidak,masakan Allah menjadikan penghuni syurga muda-muda semuanya seperti remaja di dunia selamanya.Istimewanya menjadi seorang remaja.Alangkah bertambah keistimewaan ini jika kemuliaan ini di gunakan sepenuhnya untuk mentaati Allah.Remaja juga adalah orang kepercayaan Nabi.Usamah yang 18 itu dipilih untuk memimpin armada Islam dan berjaya menumbangkan kerajaan Rom.Al-Fateh yang remaja itu menawan konstantinople dengan strategi yang tak dijangka-jangka.Dalam Al-Quran juga diceritakan kisah asyhabul kahfi yang mengisytiharkan keimanan di celah-celah kezaliman dan jahiliah mencengkam.
Amanah.
Menjadi seorang remaja sebenarnya sarat dengan amanah.Hidup dalam satu fasa yang dikenali sebagai usia keremajaannya sebenarnya ada tanggungjawab yang digalas.Yang sering dilaungkan oleh orang-orang muda,remaja itu agen perubahan.Remaja itu pencetus kebangkitan.Remaja itu dan ini,remaja di sana dan sini.Remaja dengarlah,kita seharusnya membantu yang tua dalam memacu Islam ke hadapan dan di tegakkan,bukannya menjadi golongan pencetus dan penyumbang kepada masalah ummah.
Kita semua remaja,kita insan yang kaya dengan idea,yang sarat bertenaga,yang punya karisma tersendiri.Maka adalah menjadi amanah untuk kita menggunakan segala kelebihan yang Allah berikan untuk meningkatkan kualiti iman bukannya untuk menjadi pengikut syaitan.
Kita seharusnya menjadi remaja yang tauhidik yang punya akidah dan pegangan tauhid yang kukuh di dalam dada untuk melawan segala mehnah dan tribulasi yang semakin menggila di arus modenisasi alaf ini.Remaja yang yakin dan beriman sepenuhnya dengan firmanNya,akan yakin dengan wujudnya hari pembalasan,akan tahu untuk memilih menuju ke syurga atau neraka.Dengan memilih beriman wujudnya hari kiamat,tidak akan terkeluar istilah ‘masa remaja hanya sekali’ di dunia.Kerana,kita mahu menjadi remaja dua kali.Sekali hidup di mayapada ini dan selamanya menjadi remaja di dalam syurga abadi.Kita wahai remaja,jadilah remaja yang tauhidik,yang akan menggunakan segala masa muda sebaiknya untuk beribadah dengan bersungguh-sungguh dan berkualiti untuk dipersembahkan kelak.
Remaja yang mahu menjadi remaja di dalam syurga akan memilih untuk menjadi remaja yang Quranik.Ayat-ayat Al-Quran yang Allah bekalkan bukan dijadikan ayat jampi semata untuk menunaikan hajat,tetapi untuk di baca,difahami maknanya dan di cerna untuk di amalkan dalam kehidupan.Remaja yang quranik di jamin Rasulullah tidak akan sesat hidup di dunia ini.Remaja yang quranik akan di bela oleh Al-Quran di akhirat kelak.Kita wahai remaja,jadilah generasi fil zilalil Quran,yang berusaha mengamalkan Islam secara total dan bukanya separuh-separuh sahaja.
Harapan.
Remaja selalu menjadi sarang sasaran gejala-gejala sosial kerana sikap remaja yang tidak berpendirian dan mudah terikut-ikut.Remaja juga sering di kenakan serangan pemikiran dan serangan halus melalui fesyen,filem,lagu dan sebagainya.Golongan remaja umpama dahan yang rapuh,jika tidak dipegang kena pada caranya,ianya akan mudah patah.
Harapan daripada seorang remaja kepada bakal remaja dan semua remaja,lengkaplah diri dengan ilmu dan iman untuk meniti hari di zaman globalisasi ini.Remaja yang beriman itulah yang menjadi aspirasi dan pendokong Islam.
Kata Saidina Ali,kalau engkau mahu melihat masa hadapan sesuatu bangsa,maka lihatlah remajanya pada hari ini.
Saya tinggalkan kalian dengan satu kisah di zaman khalifah Islamiyyah.
(cerita daripada seorang sahabat).
Satu hari, pihak musuh menyamar menjadi orang biasa dan datang untuk mengintip keadaan remaja di zaman itu.Dia terjumpa seorang remaja yang sedang menangis teresak-esak dengan busur panah di tangan.Lalu jawab remaja tadi mengapa dia menangis adalah kerana hanya satu sasarannya yang tidak kena pada burung hari ini.Sebelum ini,semua sasarannya tepat.Dengan sugul di wajahnya dia kembali menjahit kata-katanya,
“Bagaimana aku mahu menolong mempertahankan Islam seandainya memanah burung pun sudah gagal?Bagimana aku dapat membantu agama Islam?”.
Lelaki tadi terkesiap dan pulang.Rancangan mereka gagaal.
Lama menanti,akhirnya mereka datang kali kedua.
Kali ini mereka terjumpa lagi dengan seorang remaja yang menangis teresak-esak.Lalu jawab remaja tersebut bila disoal mengapa bersedih,
“Aku menangis kerana ditinggalkan kekasih”.
Musuh tadi tersenyum puas.Kali ini mereka boleh menyerang kerana remaja yang lemah akan memudahkan kemenangan di pihak lawan.Remaja adalah lambang ketamadunan sesuatu bangsa.Remaja yang punah,musnahlah bangsanya.
Melewati tahun baru yang baru menyingsing tabirnya,saya sedar akan menjadi semakin remaja.Ada harapan baru hadir,moga keremajaan kali ini akan lebih matang seiring dengan usia.Namun,hati akan luluh bilamana cuba untuk menyingkap tirai kisah remaja,pelbagai seribu satu cerita pahit ,lirih dan yang bertukar-tukar saban hari.Itu belum di campur dengan cerita di balik tabir yang tidak di dedahkan.
Membongkar pekung di dada remaja,keadaannya rumit sekali.Rencam!Entah mengapa,segelintir remaja yang sudah berlagak dewasa semakin berleluasa menguasai pentas hari ini.Natijahnya apabila memberi peluang kepada pelakon palsu beraksi,maka lahirlah ramai bayi yang tidak berbapa,dadah dan ganja di jaja merata-rata,arak ditogok tanpa rasa berdosa,ikhtilat yang sudah hilang sempadan syariahnya dan seribu satu masalah yang tidak akan habis-habis untuk di muntahkan!
Remaja sekalian,kenalilah dan fahamilah peranan seorang remaja Islam.Usahlah disia-siakan pinjaman umur sebagai remaja ini.Ukurlah sendiri.Di mana tahap remaja kita sekarang?
Komentar